Web Mobil [ x ]

qrcode
 

KAJIAN KEPUASAN 
PELANGGAN PDTSB 

Klik disini

KALENDAR PDTSB

w3c
Reset Setting Change font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
jata selangor title
header line

21 Ogos 2014 : 22 Ogos, hari rakyat Malaysia berkabung

  • MH17
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR - Esok, Hari Perkabungan Negara, satu perisytiharan bagi memberi penghormatan terhadap mangsa nahas tragis pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, memahat satu peristiwa dalam sejarah negara rakyat Malaysia berkabung menzahirkan kedukaan.
    
Istiadat penerimaan dan penghormatan jenazah mangsa nahas MH17 yang sudah diatur, penuh bermakna. Inilah masanya rakyat Malaysia, tanpa mengira siapa, agama dan kepercayaan menunjukkan kesatuan empati kepada waris serta rakan taulan mangsa tragedi.
    
Bersama-sama kita berdoa dan bertafakur sejenak mengikut agama dan kepercayaan masing-masing.    
    
Tragedi nahas MH17 pada 17 Julai dan sebelum ini, kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac, mencatat sejarah hitam yang tidak diduga lantas meninggalkan kesan mendalam di hati seluruh rakyat Malaysia dan juga dunia.
    
Kesatuan dalam kesedihan
    
Pensyarah Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohamad Faisol Keling berkata tragedi malang ini secara tidak langsung membawa kepada penyatuan rakyat majmuk dan pelbagai agama di negara ini untuk berkongsi kesedihan dan saat-saat sukar.
    
"Kehilangan MH370 dan nahas MH17 mengundang rasa sedih dan simpati semua rakyat Malaysia tanpa mengenal batas agama dan bangsa. Meskipun tidak mempunyai pertalian darah dengan mangsa, seluruh Malaysia dilihat bersatu hati berkongsi rasa simpati dan menyatakan sokongan mereka terutama kepada keluarga mangsa.
    
"Nilai murni seperti inilah yang perlu disemai agar sifat kebersamaan dan mengutamakan kesepaduan demi kepentingan negara itu ada di kalangan seluruh rakyat terutama apabila berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka," katanya kepada Bernama.
    
Tragedi nasional
    
Katanya dua peristiwa melibatkan pesawat MAS ini adalah tragedi nasional, yang tidak boleh dilihat sebagai nasib malang yang menimpa individu semata-mata sebaliknya melibatkan syarikat penerbangan negara, keluarga, seluruh masyarakat dan negara.
    
Pada 8 Mac, pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada 12.41 tengah malam.
 
Selang empat bulan kemudian, pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal terhempas, dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah di wilayah Donetsk, bahagian timur Ukraine, ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
    
Mohamad Faisol berkata rakyat perlu melihat tragedi nasional ini dalam konteks yang lebih luas termasuk memberi sokongan dan menghargai tindakan bijak dan rasa tanggungjawab pemimpin negara dalam menyelesaikan isu berkenaan.
    
"Tragedi ini melibatkan pelbagai bangsa dan kerajaan dalam menangani isu ini telah bertindak secara profesional serta tidak cenderung untuk mengutamakan kaum-kaum tertentu sahaja. Perkara ini menunjukkan sifat kebertanggungjawaban kerajaan dalam menjaga kebajikan setiap rakyat demi menjaga perpaduan nasional," katanya.

Berkabung tanda hormat
    
Mengenai hari perkabungan negara esok, Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Jayum Jawan berkata ia adalah tanda penghormatan negara kepada jenazah, mangsa nahas MH17.
    
"Esok kita berkabung sebagai tanda penghormatan dan simpati terhadap apa yang telah berlaku kepada penumpang dan anak kapal MH17.
    
"Hari berkabung ini juga secara langsung akan memupuk semangat kebersamaan rakyat Malaysia pelbagai etnik untuk bersatu hati dan berkongsi rasa duka kehilangan rakan senegara tanpa mengira etnik atau keturunan," katanya.
    
Dilaporkan sebanyak 20 jenazah mangsa tragedi MH17 akan dibawa pulang dari Amsterdam hari ini dan dijangka tiba di tanah air pagi esok.
    
Pada masa sama, Jayum berpendapat sambutan hari kemerdekaan tahun ini perlu diadakan secara sederhana dan terkawal bagi menunjukkan rasa prihatin pemimpin negara dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya terhadap kedua-dua tragedi malang yang menimpa negara.
    
Peristiwa bersejarah
    
Berkongsi pendapat mengenai perkara sama, seorang kakitangan swasta Mohamad Hafiz Mohamed Nassir, 26, berkata hari berkabung sememangnya wajar diadakan kerana tragedi yang berlaku merupakan peristiwa hitam kepada negara.
    
Mohamad Hafiz berkata pada hari berkabung esok, beliau dan rakan sekerja akan memakai baju berwarna hitam dan bersongkok selain turut mengadakan majlis bacaan Yassin.
    
"Mereka yang berlainan bangsa dan agama juga boleh menzahirkan tanda penghormatan dengan sama-sama bertafakur. Jika negara Belanda boleh memberi penghormatan kepada tragedi yang melibatkan Malaysia, kenapa tidak rakyat Malaysia sendiri yang terkenal dengan nilai perpaduan berbuat demikian," katanya.
    
Kumaran Rajamoney yang merupakan seorang pengamal media, turut berpendapat bahawa hari perkabungan negara esok seharusnya dijadikan asas dalam menginsafi betapa pentingnya hidup bersatu padu sebagai rakyat Malaysia.
    
Kumaran, 29, berkata masyarakat India juga tidak terkecuali akan turut berkabung dan menganjur atau menggalakkan upacara sembahyang khas bagi mendoakan mangsa sebagai tanda menghormati kehilangan nyawa yang tidak berdosa dalam tragedi MH17.
    
Perpaduan utuh
    
Sementara itu, seorang Pembantu Pengurusan Murid, Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Unjur, Klang, Farah Norliana Abdul Rahman, 28, mengharapkan agar tragedi MH370 dan MH17 dapat membuka minda rakyat Malaysia supaya tidak berpecah belah.
    
Katanya melalui ikatan perpaduan yang utuh masyarakat luar akan menjadi lebih hormat kepada Malaysia dengan kemampuan pelbagai kaum di negara ini hidup bersatu padu dan sensitif terhadap tragedi yang menimpa negara.
    
"Sebagai warganegara Malaysia saya turut sedih dan bersimpati dengan dengan apa yang berlaku. Meskipun kita tidak mampu untuk sama-sama menghulur bantuan sehingga ke Belanda, namun kita tetap boleh menitipkan doa buat mangsa yang terlibat," katanya.
    
Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 akan diadakan esok, di Kompleks Bunga Raya, di KLIA pada pukul 10 pagi.
    
Marilah seluruh rakyat Malaysia meluangkan masa selama seminit untuk bertafakur bila-bila masa seawal 10.30 pagi esok untuk memberi penghormatan kepada mangsa tragedi MH17. - Bernama


Kemaskini pada 2014-08-22 11:36:50 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page

Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Kompleks Pejabat Daerah Sabak Bernam,
45300 Sungai Besar, Selangor. Tel:03-32241963 | Faks:03-32242178 | E-mel : sbernam[at]selangor[dot]gov[dot]my
Penafian : Pejabat Daerah Dan Tanah Sabak Bernam & Kerajaan Negeri Selangor adalah tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh
penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam portal ini.
Paparan terbaik menggunakan : IE9 ke atas/ Firefox 11 ke atas/ Google Chrome resolusi 1280 x 720 ke atas.
::Hakcipta Terpelihara@2014 Pejabat Daerah Dan Tanah Sabak Bernam::   
Hari IniHari Ini64
Jumlah PelawatJumlah Pelawat338635
Visitor count : 338635 Tarikh Kemaskini: 21-09-2019