Maklumbalas II Hubungi Kami || Soalan Lazim (FAQ) || Peta Laman || Kajian Kepuasan Pelanggan

Imbas QR Kod bagi
melayari Portal Rasmi
menggunakan mobil
 [ x ]

qr

Kami Ingin Mendengar Pendapat Anda...

klik untuk sertai kami >>


Kalender PDTKS

w3c logo
Reset Setting Change font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
T
 jata  jata2  new_title_6

selangorku 

Teks Ucapan Tuan Pegawai Daerah Kuala Selangor

                                   

 

 TEKS UCAPAN TUAN PEGAWAI DAERAH PADA MAJLIS BERUKA PUASA

D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR BERSAMA RAKYAT & PENYAMPAIAN SUMBANGAN HARI RAYA

KEPADA FAKIR, MISKIN DAN SAUDARA KITA

 

TEMPAT : MASJID PEKAN JERAM, KUALA SELANGOR

TARIKH : 14 JUN 2016 (SELASA) BERSAMAAN 09 RAMADHAN 1437H

          

 

Segala pujian bagi Allah S.W.T Penaung Bagi Sekelian Alam, selawat dan salam ke atas kekasihNya Nabi Muhammad S.A.W junjungan besar rasul akhir zaman dan seluruh ahli keluarga Baginda serta para sahabat penyambung sinar Islam.

 

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun. 

 

Patik bagi pihak sekalian yang hadir dan seluruh masyarakat setempat, menjunjung kasih dan merafak sembah di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, berangkat mencemar Duli ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada Fakir, Miskin dan Saudara Kita di Masjid Pekan Jeram, Kuala Selangor pada petang yang berbahagia ini. 

 

Ampun Tuanku,
Sesungguhnya keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku amat bermakna bagi patik-patik sekalian di Daerah Kuala Selangor khususnya buat penduduk Pekan Jeram dan kawasan sekitarnya ini kerana dapat merasai nikmat peluang berbuka puasa bersama-sama Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Semoga majlis pada petang ini akan bertambah berkat apabila semua yang hadir akan turut bersama mengimarahkan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah.

 

Ampun Tuanku,
Pada kesempatan ini, Patik dengan penuh hormat dan takzimnya, memohon limpah keizinan dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menyampaikan sepatah dua kata berhubung majlis pada petang ini dan mengalu-alukan kehadiran dif-dif jemputan dan sekalian yang hadir pada hari ini.

 

Ampun Tuanku,
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj,
Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Bin Ali, 
Yang Amat Mulia Tengku-Tengku,
Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Bin Ahmad Ahya,
Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa & Kampung Tradisi, Dato’ Dr. Ahmad Yunus Bin Hairi,
Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Dato’ Hj. Nik Suhaimi Bin Nik Sulaiman,
Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Noordin Bin Sulaiman,
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor,
Yang Amat Dihormati Ahli-Ahli Dewan Diraja,
Yang Amat Dihormati Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib bin Mohd Isa,
Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes bin Haji Abdul Wahid,

Yang Dihormatkan Dato Penggawa Permatang Paduka Maha Bijaya Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Dato' Mohamad Yaacob Bin Dato' Ismail,
Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Selangor, Dato’ Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar,
Sahibus Saadah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haji Haris Bin Kasim, 
Yang Dimuliakan Orang-Orang Besar Istana,
Yang Berusaha Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Puan Noraini Binti Roslan
Yang Berusaha Tuan-Tuan Pegawai Daerah,

Yang Berusaha Dato’ Bandar / Yang Dipertua Majlis Bandaraya, Perbandaran dan Daerah
Yang Amat Dihormati dan Yang Dihormatkan Orang-Orang  Besar Daerah,

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor dan Parlimen,
Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Negeri Dan Daerah,
Yang Berusaha Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung,

Yang Berusaha Tuan Nazir dan Ahli Jawatankuasa Masjid Pekan Jeram,
Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Dato’- Dato’, Tuan-tuan, Puan-puan, Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian,

 

Ampun Tuanku,
Patik selaku Pegawai Daerah Kuala Selangor, dengan penuh hormat dan takzimnya, memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menyembah maklum beberapa perkara mengenai perkembangan Daerah Kuala Selangor. Daerah kuala Selangor merupakan antara daerah tertua di negeri ini. Menurut catatan sejarah, Kesultanan Negeri Selangor bermula di Daerah ini apabila Sultan Selangor yang pertama iaitu Sultan Sallehudin ditabalkan pada tahun 1743. Diikuti oleh Sultan Selangor yang ke-dua iaitu iaitu Sultan Ibrahim pada tahun 1778 dan Sultan Selangor yang ke-tiga Sultan Mahmud pada tahun 1826 sebelum pusat pemerintahan Kesultanan Negeri Selangor berpindah ke Jugra pada tahun 1827. Daerah Kuala Selangor terdiri daripada sembilan (9) buah Mukim dengan keluasan 119, 452.46 hektar ( 295,178.97 ekar) atau 1,194.55 km persegi di mana Mukim Tanjong Karang merupakan mukim terbesar meliputi kawasan 43, 125.48 hektar ( 36.1 %). Daerah ini merupakan daerah kedua terbesar di Negeri Selangor Darul Ehsan. Daerah Kuala Selangor bersempadan dengan :

 

      1. Daerah Sabak Bernam yang terletak di Utara; 
      2. Daerah Hulu Selangor yang terletak di Timur Laut; dan
      3. Daerah Klang yang terletak di Timur dan Selat Melaka yang terletak di Barat.

         

Berdasarkankan statistik pada tahun 2014, penduduk Kuala Selangor telah mencecah seramai 228,339 orang.

 

Ampun Tuanku
Kuala Selangor semakin menjadi pilihan orang ramai sama ada untuk tujuan kediaman atau perniagaan, Oleh kerana  tahap guna tanah di daerah-daerah metropolitan seperti Petaling, Klang dan Gombak hampir mencapai tahap maksimum, pemaju hartanah serta pelabur-pelabur telah beralih arah ke daerah ini untuk membuka kawasan baru bagi tujuan kediaman atau komersil, Ini di tambah pula daerah ini sekarang mudah di akses dengan adanya lebuh raya LATAR yang telah dibuka sejak tahun 2011. Selain itu dengan adanya Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) yang sedang dalam pembinaan, akan dapat memajukan lagi daerah ini terutamanya di kawasan sebelah utara daerah ini meliputi mukim Tanjung Karang. 
Pada tahun 2015 Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor telah menerima 24 permohonan serah balik dan berimilik semula tanah di bawah Seksyen 204 Kanun Tanah Negara untuk menukar syarat tanah pertanian kepada pembangunan bercampur (perniagaan dan perumahan). Daripada jumlah tersebut 20 permohonan telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dan premium  yang diperolehi adalah berjumlah RM51 juta. Pada tahun ini sahaja , 8 permohonan  telah diluluskan setakat  31 Mei 2016, dan premium yang diterima adalah berjumlah RM24.75 juta. Bagi kebenaran merancang pula, pada tahun 2015 sebanyak 20 permohonan telah diluluskan pihak Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) untuk pembangunan bercampur (perumahan dan perniagaan) dan satu permohonan diluluskan untuk pembangunan industri. Manakala sehingga Mei 2016 sebanyak 5 permohonan kebenaran merancang telah diluluskan untuk pembangunan bercampur pada tahun ini. Kebanyakan permohonan yang telah diluluskan ini adalah kawasan-kawasan di sekitar Pekan  Ijok dan Puncak Alam.

 

Ampun Tuanku,
Perumahan untuk golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah turut diambil kira dalam merancang pembangunan di daerah ini. Ini bagi memastikan golongan tersebut mampu memiliki rumah sendiri. Untuk itu Kerajaan negeri telah meluluskan 7 projek  rumah mampu milik Selangorku di daerah ini yang melibat pembinaan 2,685 unit rumah jenis A,B,C,D, teres mampu milik, teres kos rendah dan teres kos sederhana. Kesemua projek perumahan ini telah diluluskan kebenaran merancang oleh MDKS dan ada yang telah memulakan pembinaannya.

 

Ampun Tuanku,
Tidak dinafikan Daerah kuala Selangor mempunyai tarikan tersendiri dari segi pelancongan terutamanya kepada mereka yang meminati sejarah dan keindahan alam semula jadi. Ramai pelancong dari dalam dan luar negeri mengunjungi tempat- tempat menarik di daerah ini. Bukit Melawati yang penuh dengan sejarah, taman alam dan kelip-kelip sering menjadi tumpuan pengunjung terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kuala Selangor, seramai 128,130 orang telah mengunjungi Bukit Malawati pada tahun 2015 berbanding 115,793 orang pada tahun 2014 meningkat sebanyak 10.65 peratus. Manakala seramai 84,838 orang telah mengunjungi pusat pelancongan kelip-kelip Kampung Kuantan pada tahun lepas berbanding  79,800 pada tahun 2014 meningkat sebanyak 6.31 peratus. Bago Taman Alam pula seramai 9,835 pengunjung pada tahun 2015 berbanding 9,124 pada tahun 2014 meningkat 7.79 peratus. Peningkatan pengunjung ke tempat-tempat pelancongan ini menunjukkan usaha-usaha telah yang dilaksanakan untuk menarik pelancong  oleh Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor, MDKS dan agensi-agensi lain t mula menunjukkan hasil.  Namun begitu ia bukanlah bermakna kita boleh berpeluk tubuh sahaja. Usaha-usaha menaiktaraf produk pelancongan yang lain perlu dilaksanakan. I Kuala Selangor juga dikenali destinasi pelancongan makanan. Cendol bakar, Cendol Borhan, Aroma ikan bakar, Soto kuala Selangor, Mee Udang  merupakan antara tempat-tempat makan yang sering dikunjungi. Selain itu juga inap desa yang banyak terdapat di daerah ini serta tempat penjualan hasil laut yang segar seperti di pasar Pasir Penambang dan Pantai Remis sering menjadi tumpuan pengunjung luar dan dalam daerah ini.

 

Ampun Tuanku
Slogan Kerajaan Negeri Selangor iaitu hasil negeri untuk rakyat telah diterjemahkan melalui penurunan peruntukan daripada kerajaan negeri untuk projek  pembangunan  di daerah ini. Untuk makluman peruntukan pembangunan yang diluluskan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Selangor uantuk tahun 2016 adalah sebanyak RM4.6 juta.  Ini termasuk kerja-kerja pelebaran dan mendalamkan kolam di Puncak Alam dan Puncak Bestari yang bernilai RM 3 juta bagi mengawal risiko banjir yang telah melanda di kawasan ini dan kawasan sekitarnya pada penghujung tahun lepas. Manakala peruntukan pembangunan yang diluluskan kepada JKR kuala Selangor  adalah sebanyak RM13 juta untuk projek jalan dan RM 300,000.00 untuk projek bangunan. Pejabat Daerah Kuala Selangor juga turut menerima peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Negeri pada tahun ini iaitu berjumlah RM4,282,327.32 untuk tujuan projek-projek berikut iaitu:
       MARRIS sebanyak 11 projek (RM1.117 juta), Infrasrtuktur Asas Desa  11 projek (RM1.238 juta), Kemudahan Awam 8 projek (RM424,454.80), Tabung amanah Pembangunan Desa 2 projek (RM419,985.84), Peruntukan Khas UPEN 1 projek (RM199,700), Kampung Baru Bagan 3 projek (RM467 ribu) dan Tabung Amanah Perkuburan 8 projek
(RM414 ribu).

 

Ampun Tuanku
Kerajaan Negeri melalui  MDKS telah melancarkan perkhidmatan bas percuma Selangorku yang beroperasi mulai 1 Jun 2016. Perkhidmatan bas percuma ini bermula dari Bandar Kuala Selangor ke Pekan Sekinchan dan sebaliknya.  Di mana kekerapan perjalanan sebuah bas ialah 45 minit. Perkhidmatan bas percuma ini amat memberi manafaat kepada penduduk di sepanjang laluan bandar Kuala Selangor dan Sekinchan. Seterusnya diharapkan akan menaikkan lagi sosio- ekonomi kawasan tersebut.

 

Ampun Tuanku
Aspek penjagaan alam sekitar masih dititik beratkan walaupun  Daerah Kuala Selangor sedang pesat membangun. Hutan paya gambut Hutan Simpan Raja Musa yang terletak di Mukim Hulu Tinggi seluas  23,486 hektar adalah contoh yang terbaik bagi penjagaan alam sekitar. Apabila aktiviti pembalakan di hutan ini diberhentikan sejak tahun 2011, banyak usaha yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk memulihara hutan ini, Antaranya  adalah program menanam semula pokok. Sejak tahun 2014 hingga jun 2016 sebanyak 118,421 pokok dari spesis Tenggek Burung telah ditanam semula meliputi kawasan seluas 197.40 hektar. Program menanam semula pokok ini telah menarik ramai pihak untuk menyertainya sama ada orang perseorangan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan swasta. Untuk makluman, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, pernah mencemar duli untuk turut serta dalam program pemuliharaan hutan gambut ini iaitu di Kompartmen 100 Hutan Simpan Raja Musa pada tahun 2013. Adalah diharapkan program menanam semula pokok ini akan meningkatkan semangat dan kesedaran awam dalam melindungi dan memelihara hutan tanah gambut di Negeri Selangor.

 

Ampun Tuanku
Izinkan patik memaklumkan serba sedikit tentang sejarah Pekan Jeram dan Masjid  Ar-Ridhuan Pekan Jeram :
           Jeram merupakan sebuah pekan kecil kira-kira sembilan batu ke selatan Kuala Selangor. Jeram juga merupakan sebuah mukim seperti mana Permatang yang meliputi beberapa buah kampung. Di antara lain terdapatlah Jeram Batu 20, Tambak Jawa, Sungai Sembilang, Sungai Buluh, Bukit Ceraka, Bukit Hijau, Bukit Kerayong, Sg. Janggut dan lain-lain lagi. Ada beberapa pendapat yang diterima mengenai asal nama Jeram ini. Di antaranya yang mengatakan Jeram bukan berasal dari perkataan jeram atau air terjun, kerana di tempat tersebut tidak terdapat air terjun. Jeram adalah berasal dari sebatang pokok yang besar serta berdaun rimbun Pokok yang menjeram tingginya ini hudup kira-kira 100 meter arah ke pantai dari Bukit Jeram yang ada sekarang ini.
         Pokok inilah yang dijadikan pedoman oleh kapal-kapal yang lalu lalang di Selat Melaka apabila hendak masuk ke pelabuhan tersebut. Samalah keadaannya dengan pedagang-pedagang India dan Cina yang hendak masuk ke Pelabuhan Kedah berpedomankan Gunung Jerai dalam abad 13 dahulu. Masjid pertama iaitu masjid asal Pekan Jeram ini telah dibina pada tahun 1918 dan dinamakan Masjid Kariah Jeram. Binaan awal masjid ini diperbuat daripada batu. Namun pada tahun 1971 masjid baru telah dibangunkan bagi menggantikan masjid lama yang telah uzur. Tapak tanah untuk mendirikan masjid ini diwakafkan oleh orang kampung dan luas kawasannya kira-kira satu setengah ekar. Pembukaan masjid ini disempurnakan oleh Armarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang juga Sultan Selangor ketika itu dan diberi nama Masjid Jamiul Al-Riduan sempena nama syurga.
            Pembangunan yang pesat di kawasan sekitar serta pertambahan penduduk yang meningkat saban tahun, menuntut masjid yang lebih besar perlu didirikan di kawasan ini. Untuk itu, Masjid yang tersergam indah ini yang diberi nama Masjid Ar-Ridhuan Pekan Jeram berkeluasan 4.21 ekar mula dibina pada tahun 2010 dengan kos berjumlah RM6.414 juta. Masjid ini siap sepenuhnya pada 30 Januari 2012. Masjid ini mampu menampung kapasiti jemaah seramai 2,000 orang pada satu- satu masa. Fakta yang menarik perhatian patik berkaitan Masjid ini adalah, ini merupakan ziarah DYMM Tuanku kali yang ke-2 ke Masjid ini. Ziarah DYMM Tuanku kali pertama  adalah sewaktu perasmian masjid ini pada 5 Disember 2014 bersamaan 12 Safar 1436 Hijrah. 
          Sesungguhnya kehadiran Tuanku mencemar duli ke Masjid ini pada hari ini buat kali ke-2 untuk menyempurnakan program Ihya Ramadhan ini boleh patik umpamakan bagai sireh pulang ke gagang menyaksikan keadaan Masjid yang masih baik, utuh, terjaga dan sentiasa diimarahkan dengan pelbagai program sepanjang tahun.

 

Hadirin Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Sebentar tadi,  Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berkenan untuk menyampaikan sumbangan hari raya kepada, fakir, miskin dan saudara baru di daerah ini. Pihak Lembaga Zakat Kuala Selangor telah mengenalpasti seramai 287 orang fakir dan miskin  serta  64 orang saudara baru untuk menerima sumbangan pada hari ini. Apa yang diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh penerima-penerima untuk bersama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba di samping memenuhi hak-hak kepada mereka yang layak untuk menerima sumbangan.

 

Ampun Tuanku,
Sebelum mengundur diri, patik sekali lagi menjunjung setinggi kasih di atas limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk berangkat hadir ke Majlis yang amat bermakna ini. Moga kehadiran Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan memberikan dorongan semangat kepada Nazir, Ahli Jawatankuasa, dan Kariah Masjid agar bersungguh-sungguh mengimarahkan masjid yang tersergam indah ini. Patik serta sekalian rakyat yang hadir sentiasa mendoakan kesejahteraan yang berpanjangan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dipohon restu memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan yang  tercinta ini dengan penuh Riayah dan InayahNya jua. Dikesempatan ini, patik dan sekalian rakyat Negeri Selangor, memanjatkan doa dan memohon keselamatan dan kesejahteraan ke atas Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, seterusnya kepada puter-puteri Tuanku, Adinda-adinda Tuanku, waris-waris, dan kerabat Diraja sekalian agar sentiasa berada dalam Iman dan Taqwa, sihat walafiat dengan rezeki yang melimpah ruah serta dipohonkan jua kesejahteraan dan keselamatan kepada para pemimpin dan rakyat sekalian. Amin Ya Rabbal Alamin..

 

Ampun Tuanku,
Sekian sembah ucapan patik, Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

                                  

 


Kemaskini pada 2017-06-20 16:24:42 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page

  footer

PEJABAT DAERAH / TANAH KUALA SELANGOR,

45000 Kuala Selangor

Telefon : 03-32891010 II Fax : 03-32892145 II E-mel : ksel[at]selangor.gov.my

:: HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 PEJABAT DAERAH/TANAH KUALA SELANGOR ::

Paparan terbaik menggunakan: IE9 ke atas/
Firefox 11 ke atas /Google Chrome resolusi 1280 x 720 ke atas.

Dasar Privasi & Dasar Keselamatan | Hak Cipta |

Mengenai Kami | Bantuan | W3C | Penafian

iso

Certified to ISO 9001: 2008


Certified to ISO 9001:2008