SUBANG JAYA 6 JAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa segera meluluskan permohonan sebuah koperasi dianggotai bekas tentera yang berhasrat menubuhkan syarikat pengawal keselamatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh, berkata walaupun koperasi berkenaan majoritinya dianggotai bukan melayu, namun pengalaman mereka berkhidmat sebagai anggota keselamatan negara tidak boleh dipandang remeh. Katanya, KDN boleh menggunakan budi bicara bagi membenarkan koperasi itu menubuhkan syarikat pengawal keselamatan dalam keadaan kejadian jenayah semakin berleluasa.

“Koperasi ini memberi jaminan untuk mengambil hanya warganegara Malaysia dan bekas tentera sahaja sebagai pengawal keselamatan. Mereka juga sudah membuktikan kesetiaan, kebolehan dan kemahiran dalam menjaga keselamatan negara ketika masih berkhidmat dalam tentera, jadi mengapa pula hari ini mereka tidak dibenarkan menjaga keselamatan lagi."
Sementara itu, Wong Chen menggesa KDN mengambil langkah tepat bagi mengelakkan kejadian jenayah yang membabitkan pengawal keselamatan berulang. “Contohnya, kejadian pegawai Ambank mati ditembak oleh pengawal keselamatan warganegara Indonesia yang menggunakan kad pengenalan palsu dan sehingga kini kita tidak tahu status syarikat berkenaan.

“Sudah tiba masanya kita benarkan orang yang sememangnya layak untuk jaga keselamatan bukan warganegara asing yang dibayar murah,” katanya.
Sumber: www.selangorku.com
Kemaskini pada 2014-01-09 10:40:29 daripada Administrator