Reset Setting Change contrast to brightChange contrast to originalChange contrast to darkChange to thin layoutChange to default layoutChange to wide layoutChange font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
T
T
T
Portal Rasmi
KERAJAAN NEGERI SELANGOR
 

PKNS : Warga tempatan Boleh Diami Kompleks Kediaman Pekerja Industri

SHAH ALAM, 16 APRIL : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyifatkan pembinaan Kompleks Kediaman Pekerja Industri di SS8/6, Kelana Jaya adalah suatu perkongsian bijak yang bakal menyediakan iklim mesra pelabur.

 

Menurut Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim, pembinaan asrama ini bukan sahaja dapat menempatkan 10,000 pekerja Western Digital Malaysia Sdn Bhd, malah mampu meningkatkan kepercayaan pelabur untuk mengembangkan perniagaan mereka di negeri ini.

 

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa kompleks kediaman ini hanya dikhususkan buat pekerja asing semata-semata.

“Kira-kira 10,000 pekerja Western Digital Malaysia Sdn Bhd adalah daripada pekerja tempatan dan juga pekerja asing dari kawasan sekitar yang bakal menghuni hostel ini.

“Pembinaan asrama ini untuk kemudahan pekerja-pekerja kilang di sini dan meningkatkan kepercayaan pelabur untuk melabur di negeri ini,” katanya.

Malah katanya, projek berkenaan turut memenuhi keperluan “Workers Accommodation: Processes and Standards yang ditetapkan International Finance Corporation dan European Bank untuk pembinaan semula dan pembangunan.

 

Kompleks Kediaman Pekerja bernilai RM178 juta itu menempatkan 432 unit kediaman dengan tiga rekabentuk setiap satu seluas 475 kaki persegi, 865 kaki persegi dan 971 kaki persegi.

Ia juga akan digunakan pekerja industri di kawasan sekitar yang menerapkan konsep kehijauan menerusi penyediaan taman berlandskap di atas bumbung dan podium setiap tingkat selain hab pengangkutan yang strategik.

Selain itu, ia turut dilengkapi kemudahan lain antaranya kedai mini, tempat makan dan surau serta dilengkapi kawalan keselamatan yang merupakan sebuah projek perkongsian bijak antara Kerajaan Negeri, PKNS dan Western Digital.

 

Dalam pada itu, Ishak menegaskan PKNS tidak pernah lari daripada prinsip penubuhan, malah perbadanan itu tetap komited menyediakan perumahan untuk rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.

“PKNS merancang untuk membina sebanyak 31,000 unit rumah mampu milik mengikut fasa menjelang tahun 2030. Sebanyak 11,000 unit akan dibina menjelang 2020 manakala 20,000 unit lagi sehingga tahun 2030.

“Malah, harga rumah mampu milik yang ditawarkan oleh PKNS ketika ini amat berpatutan iaitu di antara RM60,000 hingga RM120,000 berbanding harga tawaran yang dibuat oleh pemaju lain,” katanya lagi.

PKNS memberi subsidi sebanyak RM1.1 bilion bagi tujuan pembinaan rumah mampu milik.

 

Projek pertama rumah mampu milik PKNS adalah di Bukit Botak, Selayang di mana sebanyak 1,422 unit rumah berkembar bernilai RM99,000 seunit bagi unit standard manakala nilai hartanahnya dianggarkan melebihi RM300,000 seunit.

PKNS membelanjakan subsidi sebanyak RM80 juta bagi projek berkenaan yang bakal memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada Mei ini.

 

Selain itu, apartmen mampu milik yang terdiri daripada 124 unit di Bandar Baru Bangi akan memperoleh CCC pada Jun ini.

Ini menjadikan rumah mampu milik yang sudah dibina PKNS sebanyak 1,546 unit.

Manakala, projek-projek rumah mampu milik di Antara Gapi, Serendah dan Desa Alam, Seksyen U12, Shah Alam kini dalam pembinaan.


Kemaskini pada 0000-00-00 00:00:00 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page