Reset Setting Change contrast to brightChange contrast to originalChange contrast to darkChange to thin layoutChange to default layoutChange to wide layoutChange font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
T
T
T
Portal Rasmi
KERAJAAN NEGERI SELANGOR
 

Bandar Baru Salak Tinggi Lokasi Terbaru Wifi Percuma Selangorku

MB Pelancaran WIFI 04

SEPANG 14 FEB: Bandar Baru Salak Tinggi di sini menjadi lokasi baru yang menerima akses internet jalur lebar (WiFi) secara percuma selepas dilancarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.

 

WiFi Selangorku ini dipasang di Pusat Penjaja Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi dan merupakan antara 112 lokasi WiFi percuma yang dirancang akan dipasang seluruh Selangor.

 

Abdul Khalid berkata, projek WiFi Selangorku ini menggunakan peruntukan Geran Selangorku sebanyak RM2.74 juta dengan kerjasama syarikat-syarikat swasta yang diadakan melalui tender terbuka.

“Pelbagai projek diperuntukan melalui Geran Selangorku seperti projek infrastruktur jalan, gelanggang futsal serta penyediaan WiFi percuma ini supaya kita mahu seluruh rakyat Selangor dapat menikmati kemudahan teknologi maklumat,” katanya ketika ucapan perasmian di sini hari ini.

 

Turut hadir pada majlis itu, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail, Setiausaha Teknologi Maklumat (ICT) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK), Wahilman Siwar.

MB Pelancaran WIFI 02

 

Abdul Khalid berkata, mulai akhir bulan Mac tahun ini semua kawasan yang dikenalpasti sebagai ‘HotSpot’ WiFi Selangorku akan siap dipasang.

“Kawasan luar bandar akan menjadi tumpuan pemasangan WiFi ini yang juga digunakan untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat bagi mendapatkan maklumat mengenai Kerajaan Negeri yang boleh didapati melalui portal TVSelangor(Media Selangorku),” katanya dalam sidang media sejurus selepas perasmian.

 

Sementara itu, WiFi Selangorku ini berkelajuan 2 Megahertz(MHz) dan liputan minima boleh dicapai berkeluasan 200 meter serta had capaian selama 30 minit bagi setiap 100 orang pengguna pada satu-satu masa.

 

Dalam pada itu, Rodziah berkata, kemudahan WiFi ini adalah bagi memastikan jurang digital di antara masyarakat bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.

“Rakyat semakin bertambah dan kepadatan penduduk memberikan impak kepada Kerajaan Negeri untuk memikirkan sesuatu perkara yang dapat memberi manfaat kepada setiap penduduk di negeri ini dan perkhidmatan WiFi ini merupakan salah satu daripadanya,” katanya.

 

Rata-rata penduduk di kawasan itu memberikan reaksi positif terhadap pemasangan WiFi Selangorku di kawasan mereka.

Seorang penduduk, Muhardi Yahya, 29, berkata, pemasangan WiFi ini sekurang-kurangnya dapat memberikan kemudahan kepada penduduk di sekitar untuk melayari internet bagi mendapatkan maklumat atau menyelesaikan sesuatu urusan.

“Baguslah dah ada internet percuma, bukan semua mampu untuk memasang internet di rumah dan sekurang-kurangnya penduduk di kawasan ini ada suatu kemudahan yang bermanfaat untuk digunakan oleh semua orang,” katanya ketika ditemui.


Kemaskini pada 0000-00-00 00:00:00 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page