Reset Setting Change contrast to brightChange contrast to originalChange contrast to darkChange to thin layoutChange to default layoutChange to wide layoutChange font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
T
T
T
Portal Rasmi
KERAJAAN NEGERI SELANGOR
 

Pembangunan Sukan Sepaktakraw dan Badminton perlu penambahbaikan

berita

SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan Negeri disaran melakukan penambahbaikan dalam pembangunan sukan sepak takraw dan badminton di Selangor supaya lebih berkembang dan maju.

Setiausaha Persatuan Sepak Takraw Selangor, Mustakim Mairin, berkata sepak takraw memerlukan lebih banyak gelanggang untuk kemajuan sukan itu serta menjayakan pertandingan di negeri itu.

“Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor perlu membina lebih banyak gelanggang bagi sukan sepak takraw di Selangor khususnya di peringkat daerah.

“Kekurangannya menyebabkan perkembangan sukan ini agak perlahan kerana kita perlu berkongsi gelanggang sedia ada di kendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pihak lain,” katanya kepada SelangorKini.

Dari segi peruntukan, beliau berkata, Kerajaan Negeri yang bakal membentangkan Belanjawan 2018 diminta menambah peruntukan disalurkan sebelumnya demi memenuhi keperluan persatuan dan atlet di bawah kendaliannya.

Katanya, penganjuran pertandingan dan latihan memerlukan perbelanjaan besar dalam usaha melahirkan bakat baru di Selangor.

“Badminton di Selangor memerlukan kemudahan lengkap ala ‘Mini Bukit Jalil’ seperti pusat latihan dan penempatan pemain supaya latihan lebih teratur serta sistematik dapat dilakukan demi kemajuan sukan ini.

“Kemudahan yang ada ketika ini ialah kompleks sukan badminton di Kampung Attap, Kuala Lumpur dan kita menghadapi kesukaran kerana ia jauh daripada Selangor,” katanya.

Beliau berkata, badminton juga memerlukan sejumlah peruntukan sewajarnya demi memenuhi keperluan atlet untuk tujuan latihan dan penyertaan dalam pertandingan.

Katanya, badminton adalah antara sukan popular dan menjadi tumpuan di negara ini dengan Selangor antara negeri utama dalam melahirkan bakat baru.

“Dengan peruntukan agak terhad, badminton Selangor tetap mencatat pencapaian baik dalam pertandingan seperti Sukan Sukma lalu dengan dua pingat emas.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri diminta menyediakan kemudahan lebih baik untuk kebaikan pemain badminton negeri,” katanya.

( Sumber : Selangorkini )


Kemaskini pada 2017-10-19 07:18:18 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page