Reset Setting Change contrast to brightChange contrast to originalChange contrast to darkChange to thin layoutChange to default layoutChange to wide layoutChange font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
T
T
T
Portal Rasmi
KERAJAAN NEGERI SELANGOR
Daftar
Daftar
 

Pemasyhuran Gelaran Raja Muda berlangsung penuh istiadat

KLANG, 15 OKT: Istiadat Menjunjung Duli Sempena Pemasyhuran Gelaran Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin sebagai Raja Muda Selangor berlangsung penuh adat istiadat di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, pagi tadi.

Istiadat dimulakan dengan jejawat-jejawat diketuai Yang Dimuliakan Engku Maharajalela Setia Paduka masuk membawa alat-alat kebesaran Sultan bersama kumpulan nobat untuk mengambil tempat di Balairung Seri.

Jejawat terdiri daripada 18 lelaki membawa payung, lapan jejawat lelaki membawa tombak, lapan jejawat lelaki membawa lembing, empat jejawat lelaki membawa pedang, lapan jejawat perempuan membawa kaki lilin dan lapan jejawat perempuan menyempelai tetampan wali.

Turut sama, enam Bentara Raja sebelum bertimpuh setimbang di kiri kanan laluan singgahsana, dua Bentara lelaki, tiga Bentara perempuan membawa ketur, tepak sirih dan alat air embat-embat dan tujuh pemain alat nobat yang terdiri daripada nafiri, serunai, gendang nobat (gendang nyelalu), gendang nengkara dan gendang penangkah.

Istiadat diteruskan dengan Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Laksamana Selangor bersama anak-anak Raja Bergelar diiringi Yang Dimuliakan Tengku Paduka Shah Bandar berangkat ke Balairung Seri.

Tengku Paduka Shah Bandar kemudiannya membawa dan meletakkan al-Quran ke atas meja di singgahsana dengan diiringi Tengku Setia.

Tepat jam 10.00 pagi gong dipalu sebanyak tiga kali menandakan keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dengan iringan paluan nobat Lagu Raja Berangkat.

Keberangkatan pasangan diraja itu turut disertai perarakan yang didahului Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor selaku Ketua Adat Istiadat Diraja Selangor, Bentara Raja membawa Sembuana, Panglima Perang Kanan Aman Diraja, Panglima Perang Kiri Sedia Diraja, Yang Dimuliakan Engku Seri Perdana membawa Keris Panjang Beruk Berayun dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Selangor.

cp2a7206-1024x683Turut sama mengiringi perakaran itu, Yang Mulia Anak-anak Raja Berempat, Juruiring Tentera dan Juruiring Polis, Yang Dimuliakan Tengku Setia dan Yang Dimuliakan Tengku Seri Paduka Shah Bandar.

Sejurus selepas Sultan Sharafuddin dan Permaisuri Norashikin bersemayam di singgahsana, Tengku Amir berangkat masuk ke Balairung Seri dengan diiringi Yang Dimuliakan Tengku Indera Bijaya Diraja dan Yang Dimuliakan Tengku Seri Perkasa Diraja.

Tengku Amir kemudiannya menyempurnakan Istiadat Menjunjung Duli dan Menghadap Sultan Sharafuddin bagi menyembahkan kembali cenderamata selepas meninggalkan Selangor selama tujuh hari selepas pemahsyuran gelaran dengan iringan paluan nobat lagu Anak Raja Bersiram.

cp2a7302-1024x683Istiadat diteruskan lagi dengan sembah ucapan tahniah Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali diapit Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong mewakili kaum Cina dan ADN Kota Alam Shah, V. Ganabatirau mewakili kaum India.

Turut sama menyembahkan ucapan tahniah, YAM Tengku Indera Setia Selangor mewakili waris dan kerabat diraja, Ahli Dewan Di-Raja, Orang-orang Besar Bergelar, Orang-orang Besar Istana dan Orang-orang Besar Daerah dengan diapit oleh Yang Amat Dihormati Tengku Seri Wangsa Diraja dan Yang Amat Dihormati Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor.

cp2a8022-1024x683Istiadat diteruskan dengan bacaan doa selamat disampaikan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

Istiadat penuh gemilang itu berakhir apabila Sultan Sharafuddin mengucup Keris Panjang Beruk Berayun sebelum menyerahkan kembali kepada Yang Dimuliakan Engku Seri Perdana yang datang menghadap.

 

 

Sumber : Selangorkini

 



Kemaskini pada 2016-10-19 17:15:10 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page