DASAR PRIVASI & KESELAMATAN || BANTUAN|| 
Reset Setting Change font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
jata jata2 PORTAL RASMI
PEJABAT DAERAH / TANAH HULU SELANGOR
BERDISIPLIN, AKAUNTABILITI, INTEGRITI, KERJA BERPASUKAN

Ada hikmah rupanya

Kuala Kubu Bharu: Walaupun ditakdirkan tergolong sebagai orang kurang upaya (OKU) ketiga-tiga remaja ini membuktikan mereka juga mampu melakukan sesuatu seperti manusia normal lain.

Kejayaan menghafaz 30 juzuk al-Quran dan keputusan akademik cemerlang setiap semester melayakkan Ahmad Zahiruddin Zailani, 21, yang mengidap autisme dan OKU cacat penglihatan, Ahmad Danial Mohd Sani, 23, serta Nur Amirah Azali, 22, diberikan anugerah khas pada Majlis Khatam Hafazan Al- Quran Program Diploma Tahfiz Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, di sini, semalam.

 

Menurut Ahmad Zahiruddin, dia mula khatam al-Quran ketika berusia 12 tahun dan menghafaz selepas memasuki sekolah menengah sebelum menghafaz 30 juzuk dalam tempoh dua setengah tahun selepas memasuki Darul Quran.

“Selalunya, saya menggunakan waktu sebelum solat Subuh dan selepas solat Maghrib untuk hafazan dan merasakan ketenangan kerana al-Quran membentuk keperibadian yang lebih baik setiap kali kita membacanya.

“Selepas tamat Diploma Tahfiz Pengurusan Halal di Darul Quran ini, saya bercadang menyambung pengajian ijazah dalam bidang kimia atau sains komputer yang menjadi minat saya,” katanya.

Bapanya, Zailani Ahmad, 49, berkata, kebolehan anak sulungnya menghafaz mula dikesan ustaz yang datang mengajarnya ketika di sekolah rendah.

“Dia (Zahiruddin) hidup dalam dunianya yang gemar membaca tanpa mengira bentuk bahan bacaan sehinggalah memberi kelebihan kepadanya untuk menghafaz al-Quran.

“Saya bersyukur, kebimbangan memiliki anak autisme yang dikesan sejak berusia dua tahun rupanya bawa hikmah yang sangat besar buat keluarga hari ini,” katanya.

Sementara itu, OKU cacat penglihatan, Nur Amirah berkata, anugerah itu hadiah buat ibunya, Zawati Yaacob, 53, yang akan menyambut ulang tahun kelahiran 25 Februari ini serta hari jadinya sehari sebelumnya.

“Sebolehnya, saya tidak mahu menerima anugerah ini kerana al-Quran adalah amanah yang berat untuk dipikul, tetapi saya akan cuba membawanya dengan cara yang terbaik,” katanya.

Bagi Ahmad Danial yang juga cacat penglihatan, kelas pembelajaran al-Quran secara braille dan kegigihan pensyarah yang mengajarnya antara pendorong kejayaannya yang mengikuti Diploma Tahfiz dan Dakwah.

“Kemudahan bahan bacaan yang terdapat di Darul Quran juga banyak membantu walaupun ia bukanlah institusi pendidikan yang khusus untuk pelajar OKU,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 6:40 AM

Kemaskini pada 2017-02-15 08:34:14 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page