DASAR PRIVASI & KESELAMATAN || BANTUAN|| 
Reset Setting Change font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
jata jata2 PORTAL RASMI
PEJABAT DAERAH / TANAH HULU SELANGOR
BERDISIPLIN, AKAUNTABILITI, INTEGRITI, KERJA BERPASUKAN

Media Sosial Tidak Ancam Perpaduan

Media sosial tidak ancam perpaduan
Kamalanathan (dua, kanan) bersama sebahagian tenaga pengajar SJKT Ladang Kerling.

KERLING - Walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai ancaman fitnah di media sosial, namun itu bukanlah punca utama dan tidak akan mengancam perpaduan antara kaum di negara ini. 

Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalathan berkata, media sosial bukanlah medium seharusnya dipersalahkan jika perpaduan antara kaum semakin merosot. 

“Media sosial tidak seharusnya dijadikan ancaman kepada perpaduan.  Walaupun saya tak nafikan timbul pelbagai fitnah di media sosial, tapi ia tidak seharusnya dijadikan alasan dan mengundang kepada perpecahan kaum.

“Memang media sosial ni boleh wujudkan pelbagai propaganda negatif, tetapi akhirnya yang akan memastikan perpaduan itu kukuh ialah rakyat sendiri,” katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kerling, semalam. 

Tambahnya, kementerian juga akan terus komited melancarkan pelbagai program bagi memantapkan lagi perpaduan antara kaum di negara ini. 

“Macam program hari ini (semalam), saya berhasrat akan dikembangkan ke seluruh negara. Ia tidak akan terus berkubur di sini saja.

“Malah, kita dapat lihat perpaduan antara kaum sudah cukup baik, tetapi isunya sekarang ialah bagaimana kita boleh tingkatkan semangat perpaduan selain bergaul antara satu sama lain," katanya. 

Menurutnya, apa yang penting, untuk wujudkan perpaduan itu masing-masing perlu memahami budaya masing-masing dan bila kita faham budaya sesama sendiri, pemahaman dan penghormatan itu akan meningkat secara tidak langsung. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor berkata, program seperti ini akan terus diperluas bagi meningkatkan lagi semangat perpaduan dan semangat setia kawan antara pelajar. 

“Kementerian perlu banyakkan lagi program yang boleh mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum. Kita akan banyakkan lagi aktiviti bagi menggalakkan perpaduan di sekolah rendah mahupun sekolah menengah,” katanya. 

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam menanam sikap setia kawan dan perpaduan di kalangan pelajar. 

“Mentaliti yang terlalu mahu fokus kepada satu kaum saja tanpa bercampur dengan kaum lain perlu dielakkan. 

“Pelajar di sekolah pun bercampur dan berkawan dengan pelbagai kaum dan dari situ kita sudah boleh terap sikap saling menyayangi antara satu sama lain," katanya. 

Menurutnya, ini yang kita mahu terapkan dan tingkatkan lagi di kalangan murid di sekolah bagi mengekalkan perpaduan antara kaum.


Kemaskini pada 2015-10-16 14:58:46 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page