DASAR PRIVASI & KESELAMATAN || BANTUAN|| 
Reset Setting Change font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
jata jata2 PORTAL RASMI
PEJABAT DAERAH / TANAH HULU SELANGOR
BERDISIPLIN, AKAUNTABILITI, INTEGRITI, KERJA BERPASUKAN

Tak Selesa tinggal Di Sekolah

BUKIT BERUNTUNG - Nasib 11 keluarga yang diarah berpindah selepas kediaman mereka di Apartmen Seri Trompet, Bukit Beruntung diisytiharkan tidak lagi selamat diduduki masih belum diketahui dan pihak pemaju terus berdiam diri.

Penduduk, Shaharani Abdul Rashid, 52, berkata, kediamannya sudah diduduki sejak 2002 dan dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM70,000 selepas rumah yang dibelinya itu tidak lagi selamat untuk diduduki.

“Rumah itu saya sudah ubah suai pun tetapi struktur bangunan masih kekal teruk sampai jadi semakin kritikal.

“Akhirnya, kami semua yang duduk di Blok K terpaksa keluar dan duduk sementara di Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung 2, buat sementara waktu.

“Saya harap pemaju bertanggungjawab dengan kerugian yang kami alami ini, takkanlah sudah habis melabur pada rumah dan akhirnya kami tidak dapat apa,” luahnya kecewa kepada Sinar Harian, semalam.

Bagi Mala Malyamam, 37, dia menyedari kediamannya mempunyai retakan tetapi tidak menyangka hingga diisytiharkan tidak selamat untuk diduduki.

“Saya dan tiga anak tak selesa tinggal di pusat pemindahan sementara ini dan kalau boleh, pemaju mesti cari rumah lain untuk kami.

“Paling menyedihkan, pemaju langsung tak mahu turun padang jumpa mangsa yang terlibat dengan kesan retakan bangunan ini,” katanya.

Sabtu lalu, 11 keluarga daripada salah sebuah blok di Apartmen Seri Trompet diarah berpindah kerana bangunan itu mempunyai retakan kritikal dan tidak selamat untuk diduduki.

Malah pada 4 Mei lalu, Sinar Harian juga pernah mendedahkan kesan retakan di bangunan tersebut yang semakin kritikal sejak lima tahun lalu.

Sistem saliran jadi punca

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama( JMB) apartmen berkenaan, Che Mat Hassan berkata, keadaan retakan tersebut berlaku disebabkan mendapan tanah yang terjadi berikutan masalah sistem saliran yang tidak beroperasi dengan baik.

Disebabkan itu menurutnya, air di dalam longkang berkenaan tidak dapat disalirkan dengan baik pada waktu hujan dan diserap sehingga menyebabkan keadaan tanah tidak kuat.

“Kita jangka mereka yang tinggal di pusat pemindahan sementara itu akan duduk di sana dalam tiga ke empat hari. Sepatutnya, pemaju akan sediakan rumah transit kepada mangsa yang terlibat, tetapi sampai hari ini, pemaju tidak ada cakap apa lagi pun. 

“Blok yang terlibat itu ada 80 unit rumah dan kesemuanya sudah diisytiharkan tidak selamat untuk diduduki,” katanya.

Che Mat turut meluahkan rasa kecewa kerana retakan pada blok berkenaan mula disedari sejak 2000 lagi dan menjadi lebih serius pada 2011.

“Tetapi sejak 2011, tidak ada sebarang respons dan tindakan diambil pun, itu yang buat saya agak kecewa,” katanya.

Dia berkata, hampir kesemua blok di apartmen itu mempunyai kesan retakan dan pihaknya bimbang blok apartmen yang lain juga menerima nasib sama seperti blok yang diisytiharkan tidak selamat itu.

“Saya risau blok lain yang ada retak sikit-sikit itu akan jadi retakan serius, penduduk di sini pun bukan senang mahu berpindah ke tempat lain, jadi saya berharap sangat supaya pemaju atau kerajaan negeri bertanggungjawab atas kerugian yang kami alami ini," katanya.

Blok lain selamat

Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, keputusan untuk memindahkan semua penghuni di Blok K apartmen berkenaan adalah kerana mengambil kira faktor keselamatan penduduk dan struktur bangunan yang sudah tidak selamat diduduki.

“Kita perlu mengambil tindakan segera memindahkan penduduk dan tempatkan mereka di pusat pemindahan sementara.

“Tetapi, tidak perlu terlalu bimbang kerana blok lain masih lagi selamat didiami.

“Cuma yang saya harapkan sekarang, pemaju mesti sediakan rumah transit segera kepada mangsa yang terlibat,” tegasnya.

MDHS usaha bantu penduduk

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya sedang berusaha meminta pemaju menyediakan rumah transit kepada mangsa.

“Kita berusaha minta komitmen daripada pemaju untuk menyediakan rumah transit kerana rumah tersebut adalah di bawah tanggungjawab pemaju.

“Buat masa ini, kita sedang menunggu peruntukan diluluskan oleh ahli jawatankuasa pemaju.

“Kepada penyewa yang terlibat, kita akan tolong carikan rumah lain untuk mereka sewa dan saya harap kita akan dapat bekerjasama dengan pemaju untuk selesaikan hal ini dengan baik,” katanya.

Desak kerajaan negeri bertanggungjawab

Adun Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan mendesak kerajaan negeri supaya turut bertanggungjawab ke atas semua mangsa apartmen berkenaan yang terlibat.

“Saya mahu kerajaan negeri turut mengambil tanggungjawab dalam hal ini dan tidak membiarkan mangsa terlibat dibiarkan begitu saja.

“Pihak saya sudah menyumbangkan RM500 kepada setiap keluarga terlibat dan berharap sumbangan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat bersama MDHS 3 Jun lalu dan mengesahkan kediaman keluarga tidak selamat diduduki dan perlu ditempatkan ke pusat pemindahan sementara.

“Bagaimanapun, mangsa terlibat akan dipindahkan ke unit kosong pangsapuri lain secepat mungkin.

“Rundingan akan dilakukan bersama pemaju agar mereka segera menyediakan dan mencari rumah gantian yang kekal untuk keluarga yang terlibat,” katanya.


Kemaskini pada 2015-06-10 09:23:49 daripada

  •  
  • Print
  • Email this page