DASAR PRIVASI & KESELAMATAN || BANTUAN|| 
Reset Setting Change font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
jata jata2 PORTAL RASMI
PEJABAT DAERAH / TANAH HULU SELANGOR
BERDISIPLIN, AKAUNTABILITI, INTEGRITI, KERJA BERPASUKAN

Masalah Banjir Dapat Perhatian

  • Masalah banjir dapat perhatian
< 1 / 1 >

ULU YAM BARU - Penduduk di Kampung Ulu Kalong dapat menarik nafas lega berikutan masalah banjir yang berlarutan sejak lapan tahun lalu mendapat perhatian daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Hulu Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Abdul Hamid Abdul Rahman berkata, permasalahan banjir di kampung tersebut berlaku disebabkan oleh masalah sistem saliran di Sungai Kalong yang terhasil secara sendiri ke kawasan kebun serta kediaman penduduk setempat.

Disebabkan itu, Hamid memaklumkan kira-kira lima buah rumah penduduk akan terjejas khususnya pada waktu hujan.

“Selain kebun dinaiki air, rumah penduduk juga sering terjejas disebabkan oleh masalah yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu,” katanya selepas Program Lawatan Bersepadu Adun Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan bersama agensi kerajaan terlibat ke kampung berkenaan.

Dalam program tersebut, Hamid memaklumkan bahawa JPS telah bersetuju untuk menghalang laluan air ke kawasan kebun dan kediaman penduduk selepas ini dalam usaha menyelesaikan isu tersebut.

Selain itu,  dasar sungai berkenaan juga akan didalamkan bagi membolehkan ia menampung jumlah air khususnya pada musim hujan.

“Kawasan sungai yang dipenuhi dahan-dahan pokok serta buluh reput juga akan dibersihkan selepas ini bagi memastikan tiada ganguan pada sistem saliran sungai ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hamid memaklumkan bahawa pihaknya berharap agar JPS dapat melaksanakan tindakan penyelesaian dengan kadar segera memandangkan penduduk telah lama berdepan dengan masalah itu.

Ujarnya, JKKKP melalui Pejabat Adun sebelum ini pernah membuat aduan berhubung masalah itu kepada JPS bagi membolehkan tindakan penyelesaian diambil segera.

Sementara itu, Nadzari yang turun padang dalam lawatan berkenaan memaklumkan bahawa pelaksanaan program itu dijalankan secara bersepadu bersama agensi kerajaan di Hulu Selangor bagi menyelesaikan isu serta permasalahan di kawasan setempat.

Menurut Nadzari, terdapat beberapa keperluan yang perlu dilaksanakan oleh JPS di kawasan berkenaan, antaranya adalah meluruskan kembali laluan sungai ini.

“Pembinaan ban penampan banjir juga perlu dilaksanakan di sungai ini bagi mengelakkan kejadian banjir,” katanya.

Beliau menambah bahawa kebanyakan tebing sungai di sini telah runtuh yang mana turut menganggu sistem saliran dan tindakan susulan perlu diambil oleh pihak terlibat selepas ini.

Katanya, pihaknya turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada JPS, Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Selangor dan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang turut sama dalam lawatan berkenaan.


Kemaskini pada 2016-06-30 10:59:04 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page