DASAR PRIVASI & KESELAMATAN || BANTUAN|| 
Reset Setting Change font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
jata jata2 PORTAL RASMI
PEJABAT DAERAH / TANAH HULU SELANGOR
BERDISIPLIN, AKAUNTABILITI, INTEGRITI, KERJA BERPASUKAN

31 rumah dilanda banjir lumpur


SERENDAH - HULU SELANGOR. “Saya terkejut dan pengsan masa itu sebab tidak dapat tahan tengok rumah penuh lumpur tebal. Anak-anak juga sedih tengok semua barang rosak dan sampai sekarang masih tak tidur dan tak makan lagi,” kata V Rathika, 32, menceritakan keadaannya selepas rumahnya dilanda banjir kilat kelmarin.

Rathika seorang daripada 31 keluarga di Taman Tasik Teratai yang terjejas akibat banjir kilat yang berlaku kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Banjir kilat itu dipercayai berpunca daripada projek kuari  berdekatan  kawasan  rumah berkenaan yang didakwa berlaku tanpa kawalan pihak berkuasa sejak enam bulan lalu.

Rathika pekerja pembersihan di sebuah kelab golf berkata, tidak ada barangan rumahnya yang dapat diselamatkan kerana dipenuhi lumpur.

“Masa itu lima anak saya di rumah sebab saya dan suami kerja. Anak semua masih kecil dan yang sulung demam jadi tak tahu apa nak buat masa itu.

“Dia telefon saya beritahu banjir dan tak tahu nak buat apa. Masa sampai saya pun tak boleh buat apa sebab lumpur terlalu banyak dan penuh dalam rumah,” katanya.

Menurutnya, rumahnya seperti menjadi laluan air lumpur yang masuk daripada pintu depan dan mengalir laju melalui pintu belakang.

Katanya, dia kerugian hampir RM40,000 akibat kejadian tersebut.

Penduduk, M Deepaletchumi, 27, berkata, kejadian kelmarin membuatkan dia trauma dan tidak berani meninggalkan rumah.

“Sekarang ini kami takut mahu tinggalkan rumah sebab nanti jadi apa-apa. Anak lima orang masih kecil. Paling besar sembilan tahun dan bongsu satu tahun.

“Sekarang kalau nak tinggalkan rumah ingat hujan sikit pun kami takut berlaku lagi. Tak tahu macam mana kejadian kedua lepas ini,” katanya.

Projek tidak dikawal

Sementara itu, wakil penduduk Taman Tasik Teratai, Mohd Yusni Nayan, 52, berkata, penduduk percaya bencana alam itu berpunca daripada projek kuari di belakang taman perumahan mereka.

Katanya, projek kuari itu beroperasi sebelum mereka mendiami kawasan itu 17 tahun lalu, namun ketiadaan kawalan menyebabkan ia mengundang bencana.
“Sebelum beli rumah di kawasan ini kuari memang dah ada lama.

“Kami dah tinggal di situ sejak 17 tahun tapi masalah ini dikesan berlaku sejak enam bulan lalu apabila projek kuari dibesarkan dan dilakukan tanpa kawalan,” katanya ketika ditemui menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, terdapat dua projek di kawasan kuari di mana di bahagian bawah yang hampir dengan belakang rumah dibuat gudang simpanan jentera berat termasuk lori.

Katanya, ketika ini terdapat satu lagi projek kuari di bahagian atas bukit di mana pokok balak ditebang tanpa kawalan dan didakwa tiada sistem perparitan sempurna.

Mohd Yusni berkata, ketika ini penduduk hanya mengusulkan masalah tersebut melalui memorandum dan akan bermesyuarat pada Ahad ini untuk buat tindakan selanjutnya.

Gesa pihak berkuasa tegas

Dalam pada itu, Adun Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, beliau juga telah mengenalpasti dua kemungkinan faktor berlakunya banjir kilat terburuk itu.

“Kemungkinan puncanya daripada bukit kuari. Bukan di tapak lama tapi tempat lain yang sudah meluas kawasannya.

“Sama ada kerajaan negeri benarkan dan berlaku tanpa kawalan sehingga kesannya telah menghanyutkan kayu-kayu besar,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau juga mendapati terdapat sebuah kawasan di buka di bawah bukit itu dengan dipagari besi, namun tidak diketahui operasi di dalamnya yang jelas mencurigakan.

Katanya, kejadian  itu fenomena baharu dan wajar dipandang serius kerajaan negeri kerana berlaku tanpa kawalan.

Beliau turut difahamkan oleh kakitangan pihak berkuasa yang datang bersamanya melawat kejadian kelmarin bahawa kontraktor projek tersebut telah dikenakan kompaun sebanyak tiga kali, namun masih dibiarkan meneruskan projek tersebut.

“Saya sangat dukacita terhadap bencana yang menimpa penduduk ini kerana puncanya bukan daripada penduduk tapi ada unsur malapetaka daripada kesan kerakusan pihak tertentu.

“Ini bukan banjir biasa tapi lumpur sehingga sedalam dua inci,” katanya.

Mat Nadzari yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor berkata, Kerajaan Persekutuan akan cuba membantu mangsa mengikut kemampuan, namun berharap kerajaan negeri memberikan bantuan sewajarnya dengan segera.

PDTHS ambil tindakan tegas

Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) akan mengambil tiga langkah tegas secara berperingkat bagi menangani masalah tersebut.

Ketua Penolong Pegawai Daerah, Mohamad Rohib Misnan berkata, pada peringkat awal Notis 7A akan dikeluarkan di mana pihak bertanggungjawab diarah membersihkan kawasan dan jika ingkar disusuli dengan Notis 7B sebelum Notis 8A atau rampasan tanah dibuat. 


Kemaskini pada 2014-06-02 12:06:00 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page