HULU SELANGOR - Dijaga dan dibesarkan datuk dan nenek selepas kedua ibu bapa berpisah ketika masih bayi.

Datuknya meninggal dunia ketika dia berusia tujuh tahun disusuli nenek beberapa tahun kemudian menyebabkan Rokiah Mohamed, 57, berhijrah dari Perak ke Kuala Lumpur.

Tiada apa pekerjaan lain yang boleh dilakukan selain bekerja di gerai nasi campur memandangkan Rokiah hanya bersekolah setakat darjah tiga.

Pada awal usia 40-an, Rokiah disahkan menghidap kencing manis dan dimasukkan ke hospital selepas mengalami kecederaan di kaki akibat terjatuh.

Keadaan Rokiah yang hilang upaya berjalan seperti dahulu dan hidup sebatang kara menyebabkan dia dihantar ke Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu pada 9 September 2006.

Kini sudah 12 tahun Rokiah menghuni pusat jagaan itu yang menempatkan seramai 109 warga emas uzur, daif dan tiada waris.

Ada di antara penghuni lain yang mempunyai anak dan saudara-mara namun nasib mereka tiada beza berbanding Rokiah apabila masing-masing ‘ditinggalkan’ di rumah orang tua.

Walaupun ada waris yang datang menziarahi sempena Aidilfitri namun ianya tidak sama seperti meraikannya di rumah sendiri.

Rokiah mengisi masa dengan membuat bakul kertas untuk dijual.

Bagi Rokiah, pusat jagaan warga emas itulah rumahnya dan tidak berkecil hati apabila melihat rakan senasib menerima kunjungan saudara-mara.

Tak mahu susahkan orang

Rokiah yang tidak pernah berkahwin berkata, dia merupakan anak tunggal dan sering diajak bekas majikan (gerai nasi campur) untuk tinggal bersama di Kuala Lumpur.

“Dulu kerja kedai makan memang mak cik duduk dengan mereka tapi bila dah sakit macam ini, tidak sanggup nak susahkan orang lain.

“Biarlah mak cik tinggal kat rumah orang tua ini dengan kawan-kawan lain sebab di sini ada orang jaga (petugas kesihatan).

“Kebajikan kami dijaga dengan baik tapi kita ini manusia biasa, kadangkala memanglah ada rasa sunyi dan sedih terutama hari raya.. tapi mak cik reda dengan takdir ALLAH SWT,” katanya.

Rokiah berkata, pada awal kemasukannya ke rumah warga emas itu, dia berasa takut sehingga menutup muka dengan selimut setiap kali ada pengunjung datang melawat.

Kata Rokiah, bukan dia tidak menyukai pengunjung tetapi rasa rendah diri dan malu sehingga mengambil masa beberapa bulan bagi menyesuaikan diri.

“Kat sini ada sambutan hari raya, ada saudara-mara orang lain yang datang dan mak cik hanya mampu tengok saja tapi tak kecil hati.

“Ada yang bagi kuih dan duit raya, ada yang beli bakul kertas yang mak cik buat.

“Bakul kertas ini dulu ada orang ajar buat sebab itu sekarang dah berapa tahun mak cik buat untuk jual pada siapa yang datang,” katanya.

Rokiah berkata, dia mempunyai dua kucing dipanggil Anja dan Along yang menjadi peneman hidup sepanjang tinggal di rumah berkenaan.

Menurutnya, pihak pengurusan tidak menghalang haiwan peliharaan itu dibela malah Rokiah menyayangi kucing itu seperti anak sendiri.

“Nasi dan lauk yang lebih mak cik bagi Anja dengan Along makan setiap hari.

RE Kuala Kubu Bharu menjadi pusat jagaan warga emas pertama dilawati Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, baru-baru ini.

“Mak cik juga suka bagi burung merpati makan dan mereka memang tunggu mak cik hari-hari kat luar untuk makan,” katanya.

Perlindungan di Rumah Ehsan

Terdapat dua Rumah Ehsan di negara ini iaitu di Dungun, Terengganu dan Kuala Kubu Bharu, dekat sini.

Pusat jagaan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu menyediakan rawatan dan perlindungan kepada warga emas uzur, daif serta tidak berwaris agar dapat menjalani kehidupan lebih selesa.

Pembantu Perawatan Kesihatan, Jamaliah Sayon berkata, dia bertugas di RE Kuala Kubu Bharu sejak 24 tahun lalu dan akan akan menamatkan perkhidmatan (bersara) tiga tahun lagi.

“Mereka di sini seperti ibu dan ayah tetapi hati akan tersentuh apabila ada yang meminta mahu pulang ke rumah,” katanya.

Jamaliah berkata, kisah seorang penghuni (lelaki) yang berlaku lapan tahun lalu meninggalkan kesan mendalam buat dirinya sehingga sekarang.

Menurutnya, anak kepada penghuni itu datang ziarah ketika Ramadan dan berjanji untuk mengambil bapanya pulang pada hari raya.

“Bapanya sudah siap kemas barang dan tidak sabar untuk sambut hari raya dengan anak-anak.

“Dari hari raya pertama sehingga beberapa hari dia menunggu tapi anaknya tidak munculkan diri.

“Memang sedih dan penghuni ini pun meninggal dunia beberapa tahun lalu,” katanya.