HULU YAM - Tiada lagi dapat dikatakan selain rasa syukur kepada ALLAH SWT bila melihat 15 anaknya bahagia bersama keluarga masing-masing.“Sekejap saja masa berlalu.. dulu kecil, sekarang dah besar dan bila teringat kisah masa besarkan mereka...mak cik sangat-sangat bersyukur,” kata Khadijah Sulaiman, 78. Khadijah yang berasal dari Kampung Batu 10 Perak dikurniakan 15 cahaya mata hasil perkahwinan dengan Busu Siran dari Kampung Telaga Nenas, Perak yang meninggal dunia pada 1988 akibat paru-paru berair. Pasangan Khadijah dan Allahyarham Busu atau lebih dikenali sebagai Sedan Pak Kang kini mempunyai 57 cucu dan enam cicit yang dihimpunkan pada sambutan hari keluarga tersebut di Rimba Kalong Eco Resort Hulu Yam, di sini.

Khadijah berkata, dia berkahwin pada usia 16 tahun manakala suaminya berumur 22 tahun dengan bekerja sebagai penoreh getah sebagai sumber pendapatan utama. Menurutnya, anak bongsu dilahirkan ketika menjangkau usia 46 tahun dan kesemua anak dibesarkan dengan penuh kasih sayang tanpa sebarang perbezaan.

“Waktu membesarkan anak-anak...tidaklah susah walaupun hanya bergantung kepada duit menoreh getah kerana mak cik dan arwah pak cik sentiasa berjimat.“Anak-anak pun tak banyak membantah dan dengar cakap bila disuruh buat sesuatu malah cabaran sama seperti ibu bapa lain. “Mak cik bersyukur sebab masa itu, ALLAH kurniakan kekuatan buat kami dengan rezeki yang mencukupi untuk menyara keluarga sehingga 11 anak berjaya masuk universiti dan kolej,” katanya.

Hadiah turut disediakan bagi menggembirakan kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam sukaneka.

Khadijah berkata, keluarga yang dibina dengan penuh kasih sayang dan anak-anak diberi penekanan terhadap keseimbangan dunia dan akhirat. Menurutnya, dia gembira melihat dan mendengar gelak tawa anak serta cucu yang berkumpul untuk beriadah bersama-sama dalam suasana mendamaikan.

Sukaneka, tazkirah erat hubungan

Dalam pada itu, pengisian sesi mengimbau kisah suka duka dan kenangan sewaktu kecil menggamat suasana sambutan Hari Keluarga Pak Kang yang disertai waris keluarga itu dari seluruh negara bertemakan Sepakat Membawa Berkat. Anak kesepuluh yang menetap di Batang Kali, Zainuri, 44, berkata, himpunan keluarga di Hulu Yam merupakan yang kali kedua diadakan selepas di Sungkai, Perak pada tahun lalu.

Gelagat cucu menyertai acara sukaneka yang mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Menurutnya, beberapa acara dijalankan termasuk sukaneka dan tazkirah bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan serta saling mengenali antara satu sama lain.“Selain adik-beradik, program ini turut dibantu anak saudara dengan memilih lokasi di persekitaran alam semula jadi yang nyaman dan tenang.“Paling menarik apabila sesi bercerita zaman kecil, remaja dan ketika dewasa dengan adik-beradik berkongsi kisah masing-masing yang mencuit hati serta menyentuh perasaan. Peristiwa jerih-perih dan kepayahan arwah ayah dan ibu membesarkan kami 15 orang dapat   menyuntik motivasi kepada ahli keluarga yang hadir.

Waris keluarga Sedan Pak Kang berhimpun buat kali kedua di Hulu Yam.

“Walau berjaya mana sekali pun kita, asal-usul dan sejarah keluarga tidak boleh dilupakan agar sentiasa menjaga hubungan kekeluargaan,” katanya.