HULU SELANGOR - Pusat Rekreasi Sungai Kedondong yang terletak di laluan Genting Highlands-Batang Kali cukup popular dalam kalangan pencinta alam semula jadi dan menjadi tumpuan sejak dibuka lebih 25 tahun lalu.

Mengetengahkan konsep percutian keluarga, pusat rekreasi itu mudah dikunjungi kerana berdekatan jalan utama dan mempunyai kawasan letak kenderaan yang luas.

Bagi pengunjung yang datang bersama keluarga dan anak kecil, kemudahan sebegini amat diperlukan selain disediakan pondok wakaf untuk keselesaan menghampar tikar bagi menikmati makanan yang dibawa dari rumah.

Kejernihan air sungai yang mengalir menyusuri batu-batuan cukup menggamit pandangan dan menarik perhatian sesiapa sahaja untuk menghampiri gigi air.

Pokok yang tinggi melambai mengurangkan penembusan cahaya matahari secara terus turut menyamankan kawasan persekitaran dengan kicauan unggas rimba yang mendamaikan.

Kawasan semulajadi  berhampiran jalan raya

Seorang pengunjung dari Putrajaya, Wan Ainor Basyira Wan Kamaruddin, 34, berkata, sungai Kedondong merupakan destinasi wajib dikunjungi setiap kali ke Genting Highlands bersama keluarga atau rakan sekerja.

Menurutnya, sungai berkenaan cukup dirindukan kerana terletak di kawasan hutan semulajadi tetapi hampir dengan jalan raya.

“Kebiasaan untuk menikmati keindahan suasana sungai sebegini, kita kena jalan kaki jauh masuk ke dalam hutan. Amat sesuai untuk keluarga kerana ada kawasan yang cetek dan ibu bapa boleh duduk bersantai di atas batu sambil memerhatikan anak mereka.

“Hari cuti atau hujung minggu memang ramai orang tapi tiada masalah sebab kita boleh mandi di sepanjang sungai tanpa perlu berebut tempat dengan orang lain,” katanya.

Pengunjung dari Kuala Lumpur, Mohd Nasuha Shamsuddin, 25, berkata, sungai Kedondong juga mempunyai air terjun yang terletak di bahagian hulu dengan berjalan kaki menyusuri sungai hampir 30 minit.

Menurutnya, walaupun air terjun itu tidak tinggi namun memiliki kawasan berkawah yang dalam dengan pemandangan indah.

“Ini kali kedua saya datang bersama keluarga membawa anak mandi sungai. Air jernih dan sejuk memang budak-budak suka mandi dan kawasan ini mempunyai liputan talian telefon,” katanya.

Terdapat kawasan yang cetek dan sesuai untuk riadah bersama keluarga.

Pemandangan indah tercemar

Namun, suasana damai dan menenangkan di Pusat Rekreasi Sungai Kedondong ini menjadi tercemar dengan sikap segelintir pengunjung yang tidak bertanggungjawab.

Pusat rekreasi yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Batang Kali di bawah seliaan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) ini telah disediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung.

Namun tinjauan dilakukan Sinar Harian, mendapati terdapat beberapa longgokan sampah yang ditinggalkan pengunjung dan bertaburan sehingga menjelikkan pandangan.

Seorang pengunjung, Mohd Hakimi Hamzah, 30, berkata, aliran sungai kekal jernih dan bersih namun keadaan di tebing dicemari sampah-sarap akibat sikap segelintir pengunjung yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, kemudahan tong sampah tidak dimanfaatkan dan sebilangan pengunjung lebih gemar membuat longgokan serta membakar sisa sampah.

“Sikap sebegini yang boleh mengundang risiko jangkitan kencing tikus dan menyebabkan sesuatu pusat rekreasi ditutup. Pada pandangan saya, perlu ada seorang pekerja atau penjaga yang berada di sini terutama hari cuti bagi memantau aktiviti pengunjung. Jika tidak, keadaan ini tidak berubah dan makin bertambah sampah walaupun disediakan tong sampah,” katanya.

Hakimi berkata, kemudahan di taman pertanian juga perlu diperbaiki selain menaik taraf kawasan pusat rekreasi itu.