BUKIT SENTOSA - Walaupun pernah ditinggalkan di bawah jejantas sehingga terpaksa hidup bergelandangan namun rindu dan kasih sayang terhadap anak-anaknya sedikit pun tidak pernah padam.

Benar kata pepatah, kasih anak sepanjang galah tetapi kasih ibu sepanjang zaman.

Demikian nasib dialami Fatimah (bukan nama sebenar), 74, yang kini menumpang teduh di Pusat Jagaan 1 Warga Emas dekat Bukit Sentosa bersama 19 penghuni lain.

Ibu kepada enam anak itu mengakui kecewa disisihkan anak sendiri sehingga terpaksa menghabiskan sisa hidup di empat rumah orang tua sejak 15 tahun lalu.

Dia yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu berkata, dia merantau ke Johor Bahru sebelum suami yang bekerja di atas kapal meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh dari kapal.

“Mak cik dikurniakan enam anak tapi seorang dah meninggal dunia...bila suami dah tiada, mak cik kerja kat kedai makan nak besarkan mereka semua.

“Bila dah tua...memang dah tak larat bekerja. Mak cik pernah tinggal bersama anak keempat di kawasan Kuala Lumpur selama beberapa tahun.

“Tapi cucu pula tak suka...sebab mak cik pernah terdengar cucu tanya pada emaknya lokasi rumah orang tua,” katanya.

Fatimah berkata, suatu hari dia dibawa keluar menaiki kereta oleh seorang kawan kepada anaknya untuk ke tempat yang tidak dinyatakan.

Menurutnya, dia diturunkan di bawah sebuah jejantas dan diminta menunggu di situ buat sementara kerana kawan anaknya itu mempunyai urusan lain.

“Tapi kawan anak mak cik tu tak datang-datang...masa tu, barulah mak cik sedar mak cik dibuang anak sendiri.

“Di bawah jambatan itu memang ada ramai gelandangan, akhirnya merekalah yang jadi ahli keluarga mak cik.

“Mak cik dah tak berapa nak ingat berapa tahun tinggal bawah jejantas tu sebelum mak cik diambil oleh individu yang mak cik tak kenal dan dihantar ke rumah orang tua,” katanya.

Warga emas yang menghidap kencing manis dan darah tinggi itu berkata, baginya hari raya tiada beza berbanding hari lain kerana sudah terbiasa seorang diri atau pun ditemani golongan ibu yang senasib selepas disisihkan anak sendiri.

Menurutnya, walaupun demikian dia sudah memaafkan anak-anaknya kerana memahami situasi mereka yang sudah berkeluarga selain sibuk dengan kerja masing-masing.

“Mak cik rindukan mereka dan simpan harapan kalau boleh memang nak sangat jumpa anak-anak,” katanya.

Mualaf, OKU antara penghuni pusat jagaan

Pengasas Pusat Jagaan 1 Warga Emas, Bukit Sentosa, Nur Alisha Abdullah, 45, berkata, pusat jagaan yang beroperasi sejak 2015 itu mempunyai 20 penghuni berusia 26 hingga 90 tahun termasuk orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, selain tiada waris, terdapat di antara penghuni tersebut yang dihantar oleh keluarga sebagai penjagaan harian dengan membiayai yuran tertentu.

Nur Alisha (dua, kanan) bersama penghuni yang tinggal sebatang kara termasuk golongan mualaf.

“Kebanyakan tiada keluarga dan ada yang kami ambil dari hospital selepas mereka terlantar sakit terutama golongan mualaf.

“Saya sendiri adalah mualaf yang memeluk Islam pada 2014 maka saya faham situasi mereka terutama yang disisihkan keluarga,” katanya.

Nur Alisha yang merupakan seorang ibu tunggal kepada dua anak berkata, terdahulu dia bekerja sebagai juru akaun di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur dan berpisah dengan suami sejak 16 tahun lalu.

Dia berkata, masa lapang ketika hari cuti kerja, dia dan seorang rakan sering berkunjung ke rumah orang tua sebagai sukarelawan.

“Saya tersentuh lihat keadaan ibu bapa yang disisihkan keluarga dan anak sendiri dan mendorong saya untuk ringankan beban mereka.

“Pada mulanya saya buka sebuah rumah jagaan orang tua secara harian di Ipoh yang beroperasi selama lima tahun bagi mencari pengalaman dan menilai sejauh mana kemampuan menguruskan rumah berkenaan.

“Selepas yakin, saya pindah ke Sungai Buloh dan buka rumah jagaan orang tua di Bukit Sentosa bermodalkan wang simpanan RM5,000 dengan menyewa sebuah rumah pada kadar RM650 sebulan,” katanya.